Di Sebalik Perintah Solat

Antara peristiwa penting berlakunya Israk & Mikraj ke atas Baginda SAW adalah perintah solat yang diwajibkan ke atas umat Muhammad SAW.

Solat ini adalah satu-satunya perintah yang diturunkan secara terus kepada Rasulullah SAW. Perintah lain diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibril a.s..

Ketika Baginda SAW dimikrajkan, untuk bertemu dengan Allah SWT, Baginda SAW melalui lapisan-lapisan langit yang diduduki para malaikat.

Apa yang menarik perhatian Baginda SAW, malaikat-malaikat ini khusyuk melakukan ibadah.

Ada satu kumpulan berdiri sahaja, ada yang rukuk sahaja, ada yang ‘iktidal sahaja, ada juga yang sujud sahaja.

Perlakuan ini kelihatan indah sehingga terdetik di hati Baginda SAW, alangkah baiknya jika perlakuan ini dapat dilakukan oleh umatku sebagai tanda tunduk & syukur kepada Allah SWT.

Setelah pengurangan waktu solat dari 50 waktu kepada 5 waktu, detik hati Rasulullah SAW itu diperkenankan oleh Allah SWT, seperti yang kita tunaikan hari ini.

Alangkah beruntungnya kita, perlakuan mulia para malaikat dapat kita ikuti.

Tunaikanlah hak Allah yang satu ini dengan penuh kekhusyukkan sebagai tanda bersyukur kepadaNya.

Mudahkanlah

Daripada Anas bin Malik r.a, Nabi Muhammad saw bersabda;

“Permudahkanlah, jangan menyusahkan, tenangkanlah dan

janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kamu.”

 

[HR Bukhari & Muslim]

Erti Kehidupan Ini

Kekecewaan mengajar kita erti kehidupan…

teruskan perjuangan kita walaupun terpaksa menghadapi rintangan demi rintangan dalam hidup ini…”

“Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal…

tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah.”

“Kehiudpan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan…

apa yang ada hanyalah percubaan,cabaran dan pelbagai peluang.

Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula kapada Ilahi…”

Didiklah Wanitamu Segaris Kehendak Islam

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita,
Tanpa mereka, akal fikiran dan perasaan lelaki akan resah,
Masih mencari walau ada segalanya,
Apa yang tiada dalam syurga?
Namun Adam tetap rindukan Hawa,
Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok,
Untuk diluruskan oleh lelaki,

Tapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus,
Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus,
Luruskan wanita dengan jalan yang ditunjukkan oleh Allah,
Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah,
Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya,

Jangan jinakkan mereka dengan harta,
Kerana dengannya mereka akan liar,
Jangan hiburkan mereka dengan kecantikkan,
Nantinya mereka akan derita,
Kenalkan mereka dengan zat Allah yang kekal,
Disitulan punca kekuatan dunia,

Akal senipis rambutnya, tebalkan ia dengan ilmu,
Hati serapuh kaca, tebalkan ia dengan iman,
Perasaan selembut sutera, hiasilah ianya dengan akhlak,
Suburkanlah kerana dari situ nantinya…
Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Ilahi,

Bisikkan ke telinga mereka, kelembutan bukan kelemahan,
Ia bukan diskriminasi Allah, sebaliknya disitulah kasih sayang Allah,
Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak akan terhibur,
Dan tidak akan menghiburkan tanpa iman, ilmu, dan akhlak,
Mereka tidak akan lurus, malah semakin membengkok,
Itulah hakikatnya andai wanita tidal mengenal Rabbnya,

Bila wanita jadi derhaka, pasti dunia lelaki huru-hara,
Lelaki pula jangan mengharap semata-mata, tapi binalah kepimpinan,
Pastikan sebelum wanita menuju Ilahi…
Pimpinlah diri kepadaNya…jinakkan diri kepada Allah,
Nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinanmu,

Jangan mengharap isteri semulia Siti Fatimah,
Seandainya dirimu tidak sehebat Saidina Ali

Hati ini milik Allah, diciptakan Allah, hanya untuk menyintai Allah

Hadiah Pertama Buat Bayimu

Ibn ‘Abbas @ nama sebenarnya Abdullah bin ‘Abbas adalah salah seorang sahabat yang sangat mahir tentang kitab suci Al-Quran hingga digelar Samudera (kerana betapa luas & dalam ilmu al-Quran yang dimilikinya).

Antara sebab lain beliau memiliki kepakaran tersebut adalah doa dari Baginda saw yang ketikamana beliau masih bayi, beliau terus dibawa bapanya bertemu Nabi saw dan didoakan dengan doa ini :

“Allahumma faqqihhu fiddin wa ‘allimhu al Ta’wil”

[Ya Allah, ajarkanlahnya tentang kefahaman dalam urusan agama & ajarkanlah dia untuk mentafsir Al-Quran]

Meraup Muka Seusai Solat

Kebiasaannya, dalam lingkungan masyarakat kita, selesai memberi salam pada tahyat akhir, menjadi kebiasaan bagi kita meraup hampir keseluruhan muka kita.

Cuma penulis ingin menyatakan, meraup muka bukanlah salah satu rukun solat.

Ia hanyalah kebiasaan yang dilakukan.

Pada zaman Rasulullah SAW, mereka bersolat di atas kawasan berpasir. Jadi, bangkit dari sujud, muka mereka dilekati pasir-pasir.

Oleh itu, selesai memberi salam, mereka membersihkan pasir yang melekat di muka, dengan meraup muka mereka agar pasir-pasir itu jatuh.

Hanya Dirimu

Hanya ia

Membuat aku tersenyum ketawa

Bila kisah suka hidupnya diperdengarkan

Hanya ia

Mampu mengalirkan air mataku

Bilamana kepayahan liku-liku penghidupannya aku dengari

Hanya ia

Contoh yang paling sesuai diteladani

Tidak kira siapa; ayah, anak, suami, isteri, bapa, ibu, datuk, jirang tetangga, ketua

Hanya ia

Bisa mengalirkan air mataku sekali lagi

Bila sudah lama kisahnya tidak diperdengarkan kepadaku

Rindunya aku padamu wahai kekasih Allah

Ya Rasulullah, dirimu & peribadimu

Do Not Give Up

“Kehiudpan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan…apa yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang.

Jaminan yang kekal abadi hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula kapada Ilahi…”

Dengarlah Duhai Pemimpin Islam

“Wahai Amirul Mukmini, Tuhan memberi amanah kepada khalifah bagi meluruskan segala yang bengkok, membaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, membela mereka yang teraniaya, dan menjadi penolong mereka yang terlantar.

 

Wahai Amirul Mukminin, ketua negara yang adil ibarat gembala yang sayang kepada haiwan-haiwan ternakannya, menghantarnya ke tempat yang selamat serta jauh daripada bahaya, mengawalnya daripada gangguan binatang buas serta melindunginya daripada kepanasan dan kedinginan.


Khalifah yang adil, wahai Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang arif bijaksana pada anak-anaknya. Apa yang dilakukan demi kebaikan mereka, mengajarnya menjadi orang yang berguna, bekerja keras membanting tulang untuk ahli keluarganya serta meninggalkan peninggalan yang berharga buat mereka apabila meninggal dunia kelak.

Ketua negara yang adil itu, wahai Amirul Mukminin, ibarat seorang ibu yang berkasih sayang serta bersikap lemah lembut kepada anak-anaknya. Dia rela mengandungkannya dengan bersusah-payah, kemudian mengasuhnya ketika bayi. Dia sanggup berjaga malam selagi anaknya tidak tidur dan perasaannya baru lega dan tenang selapas anaknya tenang dan tidur lena. Kemudian dia menyusukan anaknya ketika haus dan gembira apabila anaknya sihat dan berdukacita apabila anaknya sakit.


Ketua negara yang adil, dia berdiri antara Tuhan dengan hamba-Nya. Dia mendengarkan firman Allah kemudian menyampaikan kepada rakyatnya. Dia patuh kepada perintah Tuhan kemudian mengajak rakyatnya supaya turut mematuhi-Nya.


Kerana itu, wahai Amirul Mukminin, dengan kuasa yang dikurniakan Tuhan kepada kamu, jangan jadi seperti budak suruhan yang diberi amanah oleh tuannya bagi menjaga keluarga dan harta bendanya, kemudian dia khianat serta melakukan sewenang-wenangnya hingga harta itu habis dan majikannya menjadi marah.


Ketahuilah wahai Amirul Mukminin, Tuhan menggariskan panduan hidup melalui kitab Al-Quran dan lidah Rasulullah supaya manusia menjauhkan diri daripada kejahatan. Tetapi bagaimana sekiranya yang melanggar peraturan itu orang yang sepatutnya menjadi pelaksana hukuman itu? Tuhan menjadikan hukum qisas sebagai jaminan kehidupan para hamba-Nya. Tetapi bagaiman apabila orang yang jadi pemimpin itu adalah orang yang seharusnya dituntut bagi menjatuhkan hukuman itu?


Wahai Amirul Mukminin, sentiasa ingat akan mati dan apa yang terjadi selepas mati. Ketika itu kamu tidak ada pembela selain amal ibadat kamu. Kerana itu, bersiap sedialah menghadapinya dan jadikan perkara itu masalah besar bagimu. Ingatlah pada hari di mana seseorang itu melarikan diri daripada saudaranya, ibu bapanya serta isteri dan anak-anaknya.


Wahai Amirul Mukminin, jangan kamu menghukum hamba Allah dengan hukuman orang yang jahil. Janganlah bawa mereka itu di jalan yang dilalui orang zalim. Jangan kamu beri kesempatan pada orang sombong yang berkuasa ke atas orang yang lemah.


Wahai Amirul Mukminin, janganlah kamu memandang pada kedudukan kamu pada hari ini, tetapi pandanglah kedudukan kamu pada hari esok di mana kamu terbelenggu dalam cengkaman maut, kemudian berdiri di hadapan Allah di tengah kelompok para malaikat, para nabi dan rasul.


Akhir kata, wahai Amirul Mukminin Khalifah Umar bin Abdul Aziz, meskipun nasihat yang saya berikan ini tidak sebaik nasihat para cendikiawan, namun saya setulus hati sayang dan cinta kepadamu. Saya mengirim surat ini laksana orang yang memberikan ubat kepada kekasihnya, yang menuangkan ubat yang pahit dengan harapan orang yang dikasihinya sihat.


Selamat atasmu, wahai Amirul Mukminin, semoga Tuhan memberi rahmat dan berkatNya kepadamu. Amin.”

 

-Surat ini ditulis oleh Hasan al-Basri kepada Khalifah Umar Abdul Aziz. Khalifah Umar Abdul Aziz sangatlah bimbang & bersusah hati sepanjang beliau menjalankan amanah Allah sebagai khalifah Islam ketika itu. Dengan itu, beliau sering mendapatkan nasihat dengan para alim ulama agar dirinya tidak terkeluar dari landasan yang benar-