Yemen: Menginsafkan & menyedarkan kealpaan diri dengan kesenangan yang diberi

This slideshow requires JavaScript.

Ziarah ke Yemen merupakan ziarah yang tidak tercatat dalam jadual & nikmat Allah ini kami rasai setelah mendapat berita bahawa penerbangan kami (KLIA → Jakarta → Sana’a → Jeddah) tertangguh.

Sungguh, kami tak tersangka akan diberi peluang melihat keindahan di bumi Sana’a yang penuh dengan sejarah silam & barakah ini.

Sebagai manusia, kita mampu untuk merancang, namun inilah yang dipanggil qada’ & qadar Allah… Dialah sebaik-baik perancang… Dia yang menentukan segala-galanya, dan semestinya penentuanNya itu adalah yang terbaik buat hamba-hambaNya. Bersikap lapang dada & menerima ujian dengan senyuman adalah cara yang terbaik buat kita agar bebas dari syak wasangka & bebas dari membenarkan para syaitan laknatullah meniupkan angin derhaka ke dalam hati kita.

Secara pandangan kasar penulis, rekabentuk bangunannya begitu unik & tidak terbiasa dilihat di Malaysia. Warna kecoklatan & bersegi empat, itulah seni binaannya yang dapat dilihat dari kiri & kanan jalan. Tiada rekaan moden yang ditonjolkan. Namun, dengan mengekalkan seni rekaan seperti ini, membuatkan penulis terasa kagum & itulah identiti yang perlu disimpan & dijaga.

Sekilas sejarah berkenaan Yemen yang dapat dikongsi:

  • Yemen merupakan wilayah yang menyimpan nilai peradaban manusia yang tinggi: beberapa kerajaan mahsyur sebelum kedatangan Islam yang dibawa Nabi SAW, antaranya Kerajaan Saba’, Kerajaan Himyar, Kerajaan Habsyah, Hadramaut Kuno.
  • Dikaitkan dengan pertemuan tamadun yang dibina oleh anak Nabi Nuh a.s. bernama Sam. Sehingga hari ini Sana’a juga dikenali dengan nama Bandar Sam.
  • Salah satu tempat bernama Aden juga dikaitkan dengan anak Nabi Adam a.s. iaitu Habil & Qabil.
  • Pelabuhan Aden merupakan pelabuhan & laluan terpenting antara perjalanan ke Laut Merah & Terusan Suez.
  • Tempat ibadat yang didirikan oleh Raja Abrahah dalam usahanya menarik perhatian manusia agar beralih dari ke Ka’abah ke rumah ibadatnya juga ada di sini. Segala tinggalan sejarah ini sekarang berada di bawah jagaan UNESCO.(rujuk sejarah tentera Abrahah)
  • Kedatangan seorang sahabat Nabi SAW yang sangat mahsyur di dalam sejarah ialah Muadz bin Jabal r.a. dalam usaha menyampaikan sinar Islam di negeri ini. Kedatangannya diterima baik. Adapun begitu, sebelum kedatangannya, Baginda SAW telah mengutuskan surat kepada wakil Kisra Parsi (pemerintah ketika itu) mengenai ajakan(seruan) Islam, & juga kedatangan Saidina Ali Abi Thalib r.a. serta Abu Ubaidah al-Jarrah.
  • Pembinaan sebuah masjid yang penuh dengan sejarah & kekuasaan Allah SWT yang ditunjukkan melalui utusanNya.

dapatkan rangkaian journal perjalanan ini di: Yemen…Madeenah…Makkah

Indahnya Perkahwinan Saidatina Fatimah r.h.m & Saidina Ali r.a.

Fatimah adalah puteri Rasulullah saw. Rasulullah saw sangat sayang kepadanya, kerana di samping seorang wanita yang zuhud dari kehidupan duniawi, ia juga sebagai ibu kepada Hasan & Husin yang merupakan buah hati Rasulullah saw.
Ketika usia Fatimah telah meningkat dewasa, Rasulullah saw merasa sedih melihatnya. Baginda merasa hiba kerana Fatimah tidak lagi mempunyai ibu yang dapat menguruskan tentang perkahwinannya.
Setelah itu turunlah Jibril as & ia berkata: Wahai Muhammad saw, Allah telah memberi salam kepadamu & berfirman: “Janganlah engkau berduka & bersedih hati kerana Fatimah, sebab Aku lebih mencintainya berbanding kecintaanmu kepadanya, maka serahkanlah urusan perkahwinannya kepadaKu. Aku akan mengahwinkannya dengan orang yang juga Aku cintai.”
Lalu Rasulullah saw bersujud, sebagai bukti tanda bersyukur terhadap Allah swt.
Kemudian turunlah Jibril, Mikail, Israfil, Izrail, setiap malaikat itu membawa tempat yang tertutup, & setiap malaikat tadi diiringi oleh seribu malaikat. Mereka meletakkan tempat-tempat itu di hadapan Rasulullah saw, kemudian Rasulullah saw bertanya: Apakah yang engkau bawa ini Jibril?
Jibril menjawab: Allah swt berfirman: “Sesungguhnya aku telah menikahkan Fatimah dengan Ali, dan ini adalah pakaian syurga & buah-buahan, Aku pakaikan ia dengan pakaian ini.”
Kemudian Rasulullah saw sujud & berkata: Wahai Jibril, sesungguhnya Fatimah redha dengan apa yang aku redha, aku lebih suka seandainya hadiah-hadiah tersebut diberikan di akhirat saja, tidak di dunia ini.
Rasulullah saw bertanya: Wahai Jibril, bagaimana halnya dengan perkahwinan Fatimah dilangit tersebut? Jibril menjawab: Wahai Muhammad, bahawasanya Allah swt memerintahkan agar pintu-pintu syurga dibuka & pintu-pintu neraka ditutup. Kemudian Allah swt menghias Arsy, Kursi, pokok thuba & Sidratul Muntaha. Lalu Allah swt memerintahkan kepada pelayan-pelayan syurga supaya mendirikan khemah-khemah disetiap istana, & pada tiap-tiap kamar didirikan singgahsana-singgahsana, kemudian mereka duduk pada jamuan pengantin Fatimah.
Allah swt memerintahkan pula kepada Malaikat Muqarrabin, Ruhaniyyin, Karubiyyin untuk berkumpul di bawah pokok thuba. Kemudian Allah swt mendatangkan angin nyaman di dalam syurga tersebut. Maka berguguranlah buah-buahan alkafor, misik dan anbar ke atas para malaikat. Kemudian Allah swt menyuruh kepada burung-burung di syurga agar menyanyi, maka bernyanyilah burung-burung itu, sedangkan para bidadari menaburkan perhiasan & permata ke atas mereka.
Setelah itu Allah swt berkhutbah, memuji diriNya & berfirman: “Sesungguhnya Aku telah mengahwinkan ratu seluruh wanita dengan Ali bin Thalib. Dan Allah swt berkata kepada Jibril: “Wahai Jibril engkaulah sebagai wakil daripada Ali bin Abi Thalib, & Aku sebagai wakil rasulKu Muhammad.” Allah swt mengahwinkannya, & aku menerimanya, sebagai wakil daripada Ali bin Abi Thalib. Itulah aqad nikahnya yang terjadi dilangit. Maka laksanakanlah pernikahannya kembali dibumi.
Kemudian Rasulullah saw memberitahukan hal tersebut kepada Ali, juga kepada Fatimah puteri baginda. Dan baginda mengumpulkan semua sahabatnya di dalam masjid. Jibril as turun & berkata ertinya: Sesungguhnya Allah swt menyuruh Ali bin Abi Thalib membacakan khutbah nikahnya sendiri.
Rasulullah saw menyuruh Ali supaya membaca khutbah nikahnya sendiri. Maka Ali pun berkhutbah: Segala puji bagi Allah Yang Maha Esa di dalam keagungan & kesempurnaan, yang telah menciptakan manusia & telah membahagi-bahagikan tingkatan makhluknya, yang tidak serupa dengan sesuatu & tidak ada yang serupa dengannya. Dialah yang telah menciptakan hamba-hambaNya di dalam beberapa negeri, diberinya ilham kepada mereka agar dapat mengucapkan tasbih & pujian kepadaNya. Maka mereka pun mengucapkan tasbih dan menyucikanNya. Dialah Allah yang tiada tuhan selain Dia. Ia menyuruh hamba-hambaNya supaya nikah, maka mereka pun menerimanya.
Segala puji bagi Allah atas semua nikmat kurniaNya. Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah, suatu kesaksian yang akan sampai kepadaNya & akan diredhai, & akan menyelamatkan orang yang mengucapkannya pada hari setiap orang lari daripada saudaranya, dari ibunya, dari ayahnya dari sahabatnya & daripada anaknya.
Semoga selawat & salam dari Allah swt untuk Muhammad saw An-Nabiyyil Ummi yang telah dipilih & diredhaiNya sebagai penerima wahyu daripadaNya. Dan semoga rahmat Allah swt berlimpah ke atas keluarga, sahabat & pencintanya.
Pernikahan itu adalah dengan apa yang ditetapkan & diizinkan Allah. Saya sebagai hamba Allah & putera hambaNya, yang ingin keredhaanNya, melamar sebaik-baik wanita di alam semesta, saya berikan mahar untuknya sebanyak empat ratus dirham dengan tunai, apakah baginda Rasulullah saw kahwinkan saya dengannya wahai Rasul al-Amin?
Maka menjawablah Rasulullah saw: Aku kahwinkan Fatimah denganmu wahai Ali, & Allah pun telah mengahwinkanmu, meredhaimu & memilihmu. Ali menjawab: Saya terima daripada Allah swt & daripadamu wahai Rasulullah saw.
Ketika Fatimah mendengar bahawa mas kahwinnya adalah dirham, ia lalu berkata: Wahai ayahandaku, bahawasanya, semua anak perempuan orang-orang lain memakai mas kahwin dengan dirham & dinar, maka apakah bezanya antara orang-orang lain itu denganku? Aku meminta agar mas kahwinku berupa syafaat bagi orang-orang yang maksiat di antara umatmu.
Kemudian turunlah Jibril as ketika itu juga, sambil membawa sutera yang bertuliskan: “Allah menjadikan mas kahwin Fatimah puteri Muhammad saw berupa syafaat bagi orang-orang yang berdosa di antara umatnya.” Peristiwa perkahwinan Fatimah & Ali ini terjadi pada hari Jumaat.

Iman Seorang Gadis

Seorang dari golongan Ansar yang tidak menarik rupanya serta berbadan pendek, Julaibib namanya. Beliau bukan dari golongan keluarga terkenal, maka agak sukar baginya mendapatkan jodoh. Walaupun beliau suka mendekati dan berbicara dengan wanita, tetapi tiada siapa mahu menerimanya sebagai suami atau menantu.

 

Keadaan ini diketahui oleh Nabi saw, dan telah menjadi bahan fikiran Baginda saw kerana manusia normal seperti Julaibib harus berumahtangga. Lalu Baginda saw mencarikan jodoh kepada Julaibib. “Wahai Fulan, engkaukan kahwinkan aku dengan anak gadismu,” kata Nabi saw kepada seorang sahabat. “Baik, dengan segala senang hati,” jawab sahabat itu. “Tetapi bukan untukku,” kata Nabi saw lagi. “Untuk siapa?” tanya sahabat tadi seakan terkejut. “Julaibib,” jawab Nabi saw. “Ya Rasulullah, baiklah aku berunding dengan ibunya terlebih dahulu,” jawab sahabat itu.

 

Ia pun segera pulang ke rumahnya. Dalam hatinya timbul rasa serba salah. Jika isterinya menolak, tentu tidak baik bagi orang mukmin. Tetapi jika isterinya menerima, berat juga bermenantukan seorang seperti Julaibib yang akan menjadi perbicaraan orang ramai. “Nabi meminang anak engkau,” kata sahabat kepada isterinya. “Dengan segala senang hati,” jawab isterinya. “Tetapi bukan untuk Baginda, untuk Julaibib,” jawab sahabat. “Untuk Julaibib? Aku tidak akan mengahwinkan anakku dengan beliau, demi Allah!” jawab isterinya dengan tegas sekali. Setelah demikian jawapan isterinya, sahabat tadi ingin bertemu Nabi saw, tetapi sebelum berbuat demikian, telah berlaku sesuatu yang tidak terduga sama sekali.

 

Anak gadisnya telah mendengar perbicaraan orang tuanya dan keputusan menolak Julaibib itu sebenarnya menolak ketentuan Rasul “Apakah ayah dan ibu menolak keputusan Rasulullah?” demikian anak itu bertanya kepada kedua ibu bapanya. “Beritahu kepada Nabi, aku menerima pinangannya Julaibib, kerana Baginda tidak akan sesekali membiarkan aku tersia-sia,” selanjutnya dengan tegas sekali jawapan anak gadis itu.

 

Nabi saw pun mengahwinkan Julaibib dengan gadis itu. Sesungguhnya gadis itu mempunyai pandangan jauh serta iman yang tinggi. Beliau tidak memandang tentang rupa yang tidak disukai orang tetapi sebenarnya menghargai ketentuan Nabi atas dirinya. Rasulullah saw lebih tahu hal ini dan dia yakin ianya tidak akan membuat dirinya terhina.

 

Demikian contoh gadis dengan rasa keimanannya yang menghargai ketentuan agamanya lebih utama. “Ya Allah, limpahkan keberkatanMu ke atas gadis ini dengan sepenuhnya dan janganlah Engkau biarkan hidupnya dalam susah payah,” demikian Nabi saw mendoakan untuk gadis itu. Pernikahan itu diselesaikan dan kedua mereka dipertemukan oleh Nabi saw.

 

Sesungguhnya kejadian ini sangat besar ertinya sehingga para sejarawan tidak menyebut nama gadis itu serta kedua ibu bapanya. Biar siapa pun nama gadis ini, apa yang penting yang perlu dicontohi kita adalah nilai keimanan yang tinggi dalam dirinya. Sejarah hanya mengenali kemurniaan gadis itu dari doa Nabi saw untuknya. Julaibib ini sebenarnya seorang pahlawan unggul walaupun berwajah hodoh. Beliau akhirnya gugur sebagai syahid dalam satu peperangan dan baginda sendiri yang menyempurnakan jasadnya. Isterinya pula menjadi janda terhormat di kemudian harinya. Kedua pasangan ini mendapat penghargaan dari Nabi saw iaitu suaminya kerana keberaniannya manakala isterinya dengan nilai keimanannya.

Kecintaan Bilal Ibn Rabah r.a.

Insya Allah, rasanya nama salah seorang sahabat di zaman Baginda saw, Bilal bin Rabbah r.a. cukup dikenali dikalangan muslimin hari ini, Insya Allah. Seperti yang dicatatkan dalam sejarah Islam, Bilal r.a. mempunyai warna kulit yang hitam, merupakan seorang hamba sahaya kepada kafir Quraisy sebelum keislamannya.

 
Walau begitu, beliau merupakan salah seorang sahabat yang rapat dengan Baginda saw, alangkah bertuahnya beliau kerana dapat mendampingi junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw. Sepanjang hidup selepas keislamannya, beliau mendamparkan diri untuk menegakkan Islam. Ke mana sahaja, beliau akan sentiasa bersama Baginda saw, tidak kira ketika solat mahupun berjihad. Beliau juga merupakan seorang mu’adzin (juru-azan) di Masjid Nabawi. Sebaik Masjid Nabawi dibangunkan, beliau merupakan orang pertama yang mengumandangkan azan dalam sejarah Islam. Beliau tetap setia dengan rutinnya itu sehingga sampai saat ketikanya Baginda saw pergi untuk selama-lamanya.

 
Kecintaan & kerinduan beliau kepada Baginda saw benar-benar mendalam. Kerana rindunya kepada Baginda saw, setiap kali ingin mengalunkan azan, apabila tiba untuk menyebut nama Baginda saw, beliau terhenti kerana tidak sanggup untuk meneruskannya. Kerinduan beliau benar-benar mendalam sehingga beliau tidak mahu lagi mengumandangkan azan & keluar dari kota Madinah sehingga beberapa lamanya.

 
Pada suatu hari, beliau bermimpi didatangi Baginda saw. (Sesungguhnya kata-kata Nabi saw itu benar, mimpi bertemu Baginda saw juga adalah benar). Dalam mimpi itu, Baginda saw bertemunya dan bersabda kepadanya: “Wahai Bilal, apakah yang menghalangimu dari menziarahiku?”. Sebaik bangun dari tidurnya, beliau menangis teresak-esak.

 
Sesegera beliau pulang ke Madinah & menziarahi Baginda saw. Di sana, beliau bertemu dengan Hasan & Husin, cucu Baginda saw. Mereka memujuk agar Bilal r.a. kembali mengumandangkan azan. “Apabila aku melihat kamu, aku ternampak orang yang aku benar-benar kasihi & sesungguhnya aku tidak mampu menolak permintaan orang yang aku kasihi”.

 
Sebaik Bilal r.a. mengalunkan azan, seluruh penduduk Madinah benar-benar terkejut. Mereka terkejut kerana suara yang mengalunkan azan itu adalah suara ketika zaman Rasulullah saw masih lagi hidup. Pelbagai percakapan yang timbul, sehingga ada yang mengatakan, adakah Nabi saw telah hidup semula? Subhanallah, begitu bertuahnya para sahabat dahulu, kehidupan & rutin mereka dikaitrapatkan dengan junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Para wanita keluar dari rumah mereka, & mereka mengalirkan air mata kerana terlalu terharu & suara itu mengingatkan mereka kepada seseorang yang yang telah tiada, yang benar-benar dirindui mereka.
Subhanallah…

Apa Tujuannya Memakai Sanggul?…Pakaian & Wanita

Terdapat dua perkara yang diketengahkan, pertama mengenai pemakaian sanggul & penegahan ini telah terang & jelas melalui hadith Rasulullah SAW & yang keduanya mengenai ciri-ciri pemakaian wanita Islam.

Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah saw bersabda:
“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka, keduanya belum pernah aku lihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cambuk bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, wanita yang berpakaian tapi telanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, mengayunkan-ayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (ponok unta yang condong). Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya. Sesungguhnya bau harum syurga itu sudah tercium dari jarak perjalanan sekian & sekian (jarak jauh).

[HR Muslim]

 

Apa yang dikatakan Rasulullah saw itu sudah banyak dijumpai hari ini (wanita yang berpakaian tetapi telanjang). Di sini boleh dimaksudkan dengan berpakaian & juga boleh dianggap tidak berpakaian.
Dia berpakaian tetapi sebahagian besar tubuhnya dibiar & disengajakan terbuka. Dia berpakaian tetapi dengan mengenakan kain yang tipis. Dia juga berpakaian tetapi mengenakan pakaian yang ketat, yang boleh menyebabkan bentuk tubuhnya kelihatan jelas. Sejelasnya, ciri-ciri ini tidak memenuhi syarat-syarat berpakaian.
Di mana syarat-syarat pakaian seorang wanita Islam:
1.Menutup seluruh anggota tubuh.
2.Tidak memakai perhiasan.
3.Kainnya tidak terang atau tipis.
4.Tidak terlalu sempit.
5.Tidak memakai wangi-wangian.
6.Tidak menyerupai pakaian lelaki.
7.Tidak menyerupai pakaian orang kafir.
8.Tidak memakai fesyen yang meransang (seksi).
Pakaian yang tidak menepati syarak ini pada mulanya dipakai oleh wanita bukan Islam, tetapi menjadi ikutan oleh wanita Islam kini. Mereka memakai pakaian itu kerana mungkin tidak ditegah dalam agama mereka. Mungkin juga mereka berpakaian seperti itu supaya wanita Islam terpengaruh. Lihat sahajalah peraturan-peraturan sukan antarabangsa berkenaan dengan pakaian wanita, contohnya sukan lumba lari, renang… Sehingga hari ini, tidak ada negara Islam yang membantah tentang peraturan itu.

Iman Yang Kukuh Dalam Tubuh Yang Lumpuh

Seorang lelaki penduduk Madinah bernama Muq’ad seorang yang lumpuh kakinya. Keadaannya menyebabkan beliau tidak dapat bergerak & hanya mengharap bantuan keluarganya. Bagaimanapun, Muq’ad tidak sunyi dari mengikuti & mendengar serta mengambil tahu perkembangan Islam & perjuangan kaum Muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah saw. Walaupun beliau tidak dapat berbuat banyak perkara terhadap perjuangan Islam, namun hatinya mencintai Allah & Rasul dalam kemampuan yang ada padanya.
Imannya begitu kuat berkeinginan menyertai Nabi saw sebagai seorang Muslim, tetapi tenaganya tidak ada.

 
“Bawalah (dudukkan) aku di pinggir jalan yang dilalui Baginda saw bila Baginda saw ke masjid” demikian dia menyuruh keluarganya membantu.
Permintaannya dilaksanakan & didudukkan ia di pinggir jalan laluan Nabi saw. Tidak dapat dibayangkan betapa rindunya beliau hendak melihat wajah Rasulullah saw & ingin mendengarkan suara Baginda saw. Walau berapa lama sehingga Nabi saw lalu di situ, beliau tetap menunggu kerana baginya menunggu itu sudah cukup untuk menyejukkan perasaannya.

 
Keadaan perihal Muq’ad ini diketahui & dirasanya oleh Baginda saw, maka apabila melalui jalan itu, Baginda saw akan mengucapkan salam kepadanya. Betapa besar rasa dihatinya apabila Nabi saw bersalaman & mendengar ucapan salam dari manusia agung itu kepadanya walaupun pertemuan itu hanya sepintas lalu. Begitulah setiap hari pergi & balik Nabi saw akan mengucapkan salam kepadanya. Setelah selesai pertemuan, Muq’ad akan dibawa pulang keluarganya.

 
“Demi Allah, aku tidak akan pulang lagi” kata Muq’ad.
“Tolong dirikan aku pondok, selama Rasulullah saw masih hidup, aku tidak akan pergi lagi dari sini” permitaan itu diminta kepada keluarganya.
Permintaan beliau ditunaikan & tinggallah beliau di sana dengan hati yang penuh kegembiraan. Demikianlah besarnya & murninya hati Muq’ad oleh kecintaan yang amat besar kepada Nabi saw.
Nabi saw mengetahui semua hal Muq’ad itu, dan setiap kali Baginda saw melintasi jalan itu, Baginda saw akan singgah kepadanya & mengucapkan salam & digembirakan hatinya. Malahan jika Nabi saw mempunyai makanan yang baik & lazat, akan dikirimkan kepadanya. Allah swt jua yang lebih mengetahui betapa gembiranya Muq’ad mendapat perhatian dari Nabi saw. Dalam keadaan yang lumpuh, hanya inilah ubat yang baik untuk jiwanya.

 
Demikianlah masa berlalu, dan sampailah masanya Muq’ad pergi pulang kembali kepadaNYA. Kematiannya diberitahui kepada Nabi saw & Baginda segera ke tempatnya dengan penuh keharuan. Beberapa orang sahabat bersama dengan Baginda saw bagi melepaskan hamba ini ke alam barzakh.
“Seorangpun tidak dibenarkan mendekati tempatnya selain dari aku” demikian Nabi saw berkata kepada sahabat-sahabat.
Nabi saw pun segera masuk ke dalam pondok Muq’ad & Baginda saw melihat Malaikat Jibril sudah ada dekatnya.
“Wahai Rasulullah saw, Sekiranya engkau tidak datang, maka kamilah yang akan menyelenggarakan mayatnya. Tetapi kerana engkau sudah datang, maka engkaulah yang lebih utama menguruskannya” demikian kata Jibril kepada Nabi saw.

 
Akhirnya, Nabi saw dibantu dengan para sahabat yang ada menguruskan jenazah Muq’ad. Sempurnalah jenazah Muq’ad menuju ke alam Baqa’ dengan iman yang unggul berada di dalam badan yang lumpuh.
Baginda saw telah memperlihatkan kasih sayang kepadanya dalam bentuk lain dari yang lain. Ini disebabkan Muq’ad adalah orang yang lumpuh badan secara luarannya, namun imannya tidak lumpuh. Jiwanya hidup dengan mencintai Allah & RasulNYA lebih dari segala-galanya. Berbahagialah orang yang lumpuh jasmani tetapi tidak lumpuh iman dibandingkan dengan jasmani yang sempurna tetapi lumpuh imannya.

Wanita: Hak Yang Bagaimana Lagi Yang Kamu Tuntut & Mahukan?

Wanita Akhir Zaman HARI INI terlalu banyak didedahkan kepada persoalan-persoalan yang keterlaluan. Malangnya, wanita Islam juga, dengan tiada tapak asas agama, telah terjerat kepada persoalan ini.
Datang pula badan-badan, persatuan-persatuan & organisasi yang kononnnya ingin menuntut hak yang sama rata dengan kaum pasangannya, kaum Adam.
1.”Mengapa pergerakan kami terbatas? Hendak ke mana-mana mesti meminta izin terlebih dahulu daripada suami. Sedang mereka, hendak ke mana pun, tak perlu beritahu / minta izin dari sesiapa”.
2.”Penatnya, seksanya mengandung… Segala-galanya terpaksa kita tanggung sendiri. Kenapa tidak diberi sedikit apa yang kita rasa kepada suami kita?”
3.”Kenapa talak tidak boleh diberi kepada kami? Kenapa hanya lelaki sahaja layak memberi talak? Kami terasa diri teraniaya”.
4.”Untungnya lelaki boleh beribadat sepanjang masa. Kalau kita, ada cutinya. Untungnya kalau kita menjadi lelaki.”
5.”Taat pada suami. Tapi pernah dengar suami wajib taat pada isteri? Kenapa sehala? Mana keadilan untuk kami?”
6.”Kalau ikut hukum faraid, betapa untungnya lelaki kan? Harta yang mereka dapat lebih banyak dari kita. Kenapa macam tu perkiraannya?”
7.”Aurat kami seluruh anggota kecuali muka & tapak tangan. Lelaki, ke kedai dengan seluar pendek pun tak menjadi masalah.”
ASTAGHFIRULLAH!!! Mohon ampunlah kamu kepada Allah… Berhentilah dari terus berfikir seperti ini. Sesungguhnya musuh Islam & musuh manusia, syaitan laknatullah tidak pernah berhenti putus memikirkan & terus berusaha menarik kita dari terus berjalan di jalan yang lurus.
Mereka sesungguhnya bertekad mengheret kita masuk bersama-sama mereka ke dalam neraka jahannam. Al-Quran & hadith Baginda SAW mampu menjawab persoalan-persoalan ini tanpa kita merasakan bahawa Allah swt berat sebelah kepada kaum wanita. MALAH, Allah begitu menyayangi kita, wahai kaum Hawa. Diangkatnya darjat kita setelah datangnya Islam. Tanamlah kata-kata ini jauh ke dalam hatimu agar menjadi tapak iman yang kukuh.

Persoalan pertama: Suami dipertanggungjawabkan untuk menjaga kamu, setelah mereka mengambil kamu dari keluargamu. Dari saat kamu bergelar isterinya, kamu adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya, adakah kamu tahu itu? Oleh itu, setiap inci perlakuan kamu, apa kamu kerjakan, telah menjadi tanggungjawabnya. Adakah kamu sanggup jika diberi tanggungjawab itu?
Persoalan kedua: Untuk mendapatkan sesuatu yang baik, pengorbanan diperlukan. Apa sahaja yang kita lakukan untuk kebaikan, kita perlu berkorban. Tidak senang untuk senang. Namun, kamu tahukah? Di sebalik segala kesulitan yang kamu hadapi, jika kamu bersabar & redha, ganjarannya besar, wahai saudaraku. Sekalian makhluk & malaikat sentiasa mendoakan kamu. Adakah kamu tahu itu? Jika ditakdirkan kamu meninggal sewaktu melahirkan, kamu telah ditakdirkan syahid. Apa ganjaran syahid di sisi Allah? SYURGA!! Adakah kamu tidak menginginkan balasan syurga di akhir hayatmu?
Persoalan ketiga: Kamu sanggup digalaskan dengan tanggungjawab itu? Walaupun telah diceraikan, namun bekas suami masih bertanggungjawab dalam beberapa waktu ditetapkan. Jika ada anak, tanggungjawab nafkah kepada anak-anak tidak akan terputus sampai bila-bila. Pernah dengar Islam mempertanggungjawabkan nafkah anak-anak itu kepada isteri apabila bercerai dengan suaminya?
Persoalan keempat: Beribadat sepanjang masa? Tidak dinafikan, ada beruntungnya dapat beribadat sepanjang masa. Namun, soal tanggungjawab, adakah kamu tahu? Lelaki WAJIB berjihad di jalan Allah. Sedang kamu, hanya perlu lakukan beberapa perkara yang telah dinyatakan dengan jelas, maka pahala yang kamu perolehi itu sama tarafnya dengan kaum lelaki yang berjihad di medan peperangan tanpa mengangkat senjata.
Persoalan kelima: Taat kepada suami. Cuma satu sahaja kan? Taat kepada ALLAH & RASULNYA itu adalah semestinya yang utama. Selainnya, kamu hanya patuh & taat kepada suami sahaja. Tapi lelaki, tahukah bahawa mereka terpaksa menggalas tanggungjawab di akhirat ke atas 4 JENIS WANITA. Ya, tanggungjawabnya semua ke atas yang sekaum dengan kamu. Ibunya, isterinya, anak perempuannya & adik perempuannya. Kamu? Kamu bukan sahaja tidak bertanggungjawab kepada sesiapa, MALAH kamu dipertanggungjawab ke atas 4 JENIS LELAKI yang bersilaturahim denganmu. Siapa mereka? SUAMIMU, BAPAMU, ANAK LELAKIMU & ADIK LELAKI/ABANGMU.
Persoalan keenam: Harta pusaka? Besar sangatkah 2/3 harta yang lelaki miliki? Harta itu mereka dibelanjakan kepada orang-orang yang di bawah tanggungjawabnya. Sedangkan kamu, harta yang kamu perolehi hanya untuk kamu sahaja.
Persoalan ketujuh: Sesuatu yang mahal & berharga perlulah disimpan rapi & tempat yang selamat. Kamu diibarat sesuatu yang berharga sepertinya emas, berlian, permata. Pernahkah kamu melihat benda-benda seperti itu dibiarkan bergolek di sana sini tanpa disimpan? Apa akan terjadi jika dibiarkan begitu? Sesiapa sahaja boleh mengambil & menggunakannya. Begitulah perumpaan kepada dirimu, wanita. Auratmu hanya untuk suamimu. Adakah kamu rela diri kamu dipertonton & disentuh oleh sebarang lelaki selain suamimu? Bayangkan jika itu terjadi pada anak perempuanmu, kamu sebagai ibunya, sanggup melihat itu semua?
Di sini yang diberikan contoh hanyalah tujuh persoalan, saya percaya, banyak lagi persoalan terlampau yang tidak mustahil tidak terjangkau difikirkan di luar sana. Hentikanlah. Kepuasan, keadilan & kebenaran yang bagaimaa lagi yang kamu mahukan? Untuk keadilan untuk dirimu, kamu tegar mempersoalkan apa sahaja. TAPI, demi kepentingan agama, adalah kamu setegar itu mencari keadilan?
Islam itu agama yang praktikal, amalkanlah tuntutannya, kamu akan perolehi manisnya hidup ini.